Piramid Makanan Malaysia 2020

 

Secara ringkasnya, perubahan besar dalam Piramid Makanan Malaysia 2020 adalah seperti berikut:


  1. Kumpulan Sayuran / Buah-buahan Diletakkan Pada Dasar Piramid
  2. Kumpulan Karbohidrat Diletakkan Pada Tangga Kedua
  3. Saranan Pengambilan 6-8 Gelas Air Kosong






Jika anda mendapati sukar mengingati 4 aras piramid pemakanan ini, gunakan teknik suku-suku separuh semasa anda mengambil makanan.




Contoh pemilihan menu waktu makan dan sebab mengapa memilih makanan tersebut.


Menu Sarapan Pagi


1. Susu

2. Nasi lemak

3. Buah epal

4. Air kosong


Sebab memilih menu ini: 


Susu merupakan sumber protein. Air kosong merupakan pelawas manakala nasi lemak merupakan hidangan lengkap yang mengandungi karbohidrat, protein, lemak dan sayur-sayuran. Buah epal pula menjadi pencuci mulut, sumber vitamin dan pelawas selain sayur-sayuran tadi. Ia akan membantu kita lebih bertenaga sehingga waktu makan tengah hari.



Menu Makan Tengah Hari


1. Nasi putih

2. Sup ayam

3. Sayur sawi goreng udang

4. Air masak

5. Jus epal

6. Buah limau

Sebab memilih menu ini:

Nasi merupakan sumber tenaga yang utama selepas kita melakukan banyak aktiviti . Sup ayam merupakan sumber protein manakala sayur sawi adalah sumber vitamin C. Air masak dan jus epal merupakan bahan pelawas selain mengekalkan suhu badan. Buah limau merupakan pencuci mulut dan sumber vitamin C.


Menu Makan Malam

1. Sup krim cendawan

2. Roti potong 

3.Teh kosong

4. Air kosong

5. Buah anggur

Sebab memilih menu ini:

Menu ini sesuai untuk dijadikan menu makan malam kerana ia tidak terlalu berat. Ini kerana pada waktu malam kita tidak melakukan aktiviti berat dan lebih kepada waktu rehat yang panjang. Sup krim cendawan merupakan sumber protein kerana ia mempunyai campuran bahan protein daripada telur. Roti potong pula adalah sumber karbohidrat dan air minuman sebagai bahan pelawas. buah anggur menjadi sumber vitamin C selain berfungsi sebagai pencuci mulut.


Penerangan tambahan perubahan besar dalam Piramid Makanan Malaysia 2020 

1. Kumpulan Sayuran / Buah-buahan Diletakkan Pada Dasar Piramid

Kumpulan makanan sayur-sayuran dan buah-buahan diletakkan pada dasar piramid berbanding Piramid Makanan Malaysia 2010 yang meletakkan makanan sumber karbohidrat (nasi, mee, roti, bijirin, produk bijirin dan semua jenis ubi).

Ini bermakna sayur-sayuran dan buah-buahan haruslah diambil dalam jumlah yang paling banyak berbanding kumpulan makanan lain, iaitu sekurang-kurangnya tiga sajian sayur-sayuran dan dua sajian buah-buahan setiap hari.

Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber vitamin dan mineral yang penting dalam meningkatkan keupayaan badan manusia melawan penyakit.

2. Kumpulan Karbohidrat Terletak Di Tangga Kedua

Piramid Makanan Malaysia 2020 menyarankan julat peratus pengambilan karbohidrat yang lebih rendah iaitu 50%-65% berbanding Piramid Makanan Malaysia 2010 iaitu 55%-75%.

Piramid Makanan Malaysia 2020 ini turut menekankan saranan pengambilan sumber karbohidrat kompleks dan tinggi serat seperti beras perang, roti bijirin penuh, oat dan jagung.

3. Saranan Pengambilan 6-8 Gelas Air Kosong

Saranan pengambilan 6-8 gelas air kosong sehari turut ditambah di dalam ilustrasi Piramid Makanan Malaysia 2020. Pengambilan air yang mencukupi dapat memastikan badan kita sentiasa terhidrat bagi menjaga kesihatan terutama di musim pandemik Covid-19.

Penggunaan Piramid Makanan Malaysia 2020 ini diharapkan dapat membantu rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan sihat pada setiap hari. Penggunaan Piramid Makanan Malaysia 2020 ini juga memastikan kesihatan kita sentiasa terjaga dan terhindar daripada jangkitan penyakit, di samping mengurangkan risiko penyakit kronik tidak berjangkit seperti kolesterol tinggi, obesiti, diabetes dah hipertensi.

Semoga bermanfaat

Tinggalkan komen anda di ruangan komen supaya penulis dapat mengucapkan terima kasih secara peribadi atas kunjungan anda ke sini...

Terima kasih kerana membaca...

*Sumber: Portal Rasmi KKM

Baca lagi:

Kisah Si Penagih

Nota Ringkas Sains Tahun 6

Kelas Makanan






No comments:

Post a Comment